LIPIS: Bekas anggota Home Guard tertua di negara ini yang baru keluar hospital menerima lawatan daripada Ketua Polis Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Lipis, Amir Marwan Abu Kassim.
Mat Ariffin Mat Deris, 110, dimasukkan ke hospital Lipis dan menerima rawatan dua hari berikutan mengalami muntah darah dan uzur menerima bantuan kerusi roda bagi memudahkan bergerak.
Mat Ariffin yang menjadi ‘keluarga angkat’ kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis, masih menetap di Kampung Tanjung Buloh, Kerambit.
Azli berkata, Mat Ariffin yang pernah bertugas sebagai Home Guard antara 1948 hingga 1959 di Kampung Banggul Cik Wan, Pasir Mas, Kelantan mengalami keuzuran, tidak mampu berjalan dan penglihatan semakin kabur sejak awal tahun ini.
Azli berkata, beliau bersama Amir Marwan menziarah Mat Ariffin yang kini dijaga oleh anaknya dirumah bekas anggota homeguard itu untuk bertanya khabar kesihatannya.
Menurutnya, Mat Ariffin mula menyertai pasukan Home Guard yang diasaskan British di Tanah Melayu ketika berusia 17 tahun dan ditugaskan di Rantau Panjang, Kelantan.
Katanya, beliau juga pernah beberapa kali bertempur dengan komunis dalam serangan hendap di kawasan kampungnya, dekat Rantau Panjang.
Katanya, Mat Ariffin yang dilahirkan di Kampung Kuin Merah, Rantau Panjang, banyak menyimpan banyak kenangan bermula sejak zaman pendudukan Jepun, era Darurat sehingga negara mencapai Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
“Dia (Mat Ariffin) antara anggota Home Guard paling tua di negara ini di samping empat orang rakannya lagi berusia antara 80 hingga 90 tahun yang masih hidup dan tinggal di Kampung Tanjong Buluh, Lipis.
“Kesemua bekas pejuang keselamatan era komunis ini dijadikan keluarga angkat IPD Lipis,” katanya di rumah Mat Ariffin yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Lipis, Deputi Suprintendan Idros Ismail dan Ketua Kampung Tanjung Buloh, Najid Abu. – MUHAMMAD NAJMIE