LIPIS: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM24.8 juta kepada Felcra Berhad bagi pelaksanaan dan pembangunan aktiviti memperkasakan kira-kira 24,000 pesertanya di seluruh Pahang sepanjang tahun ini.
Timbalan Menteri 1 KPLB, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, berkata kementerian akan menjuruskan tumpuan kepada usaha merapatkan jurang pendapatan di antara bandar dan luar bandar.
”Selain itu, kemudahan infrastruktur asas termasuk kemudahan sosial akan diperluas. Selain itu, pembangunan modal insan dan peningkatan kadar pendapatan warga luar bandar akan turut diberi tumpuan.
“Inisiatif ini juga menunjukkan komitmen kerajaan dalam membangun dan memajukan masyarakat luar bandar melalui KPLB dan Felcra Berhad,” katanya pada Majlis Iftar Warga Felcra Kawasan Sungai Temau, Kuala Lipis, di sini, petang semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felcra Berhad, Dato’ Mat Roni Zakaria.
Pada majlis itu, Abdul Rahman turut menyampaikan replika cek Agihan Keuntungan Boleh Agih Akhir 2021 Fasa 2 Peserta Felcra Berhad Daerah Lipis.
Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Al-Ihsan Daerah Lipis dan menandatangani Plak Perasmian Pejabat Felcra Berhad Kawasan Sungai Temau.
Beliau berkata, sehingga Julai 2020, Felcra Berhad berjaya memajukan 224,130 hektar ladang bagi 107,000 peserta merangkumi 1,049 Projek Penyatuan dan Pemulihan, serta 33,145 hektar estet milik Felcra Berhad.
”KPLB amat menyokong pelaksanaan lebih banyak projek pembangunan berimpak tinggi di setiap Projek Felcra agar dapat memberi manfaat kepada peserta dan masyarakat,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE