LIPIS: Stesen kereta api Mela, di sini, yang dihentikan sejak lebih 20 tahun lalu beroperasi semula, hari ini.
Lebih menarik apabila Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan tiket percuma untuk perjalanan dari Lipis , Pahang, ke Gemas di Negeri Sembilan, sepanjang tiga hari bermula 21 Februari 2022.
Kebanyakan penduduk Mela amat teruja menikmati perjalanan singkat berulang-alik dari kampung itu ke stesen Mentakab dan kembali semula dengan tren yang sama dari Gemas ke Mela.
Ketua Kampung Mela, Rosli Ismail, 56, berkata penduduk begitu gembira apabila KTMB kembali menggunakan stesen itu yang lebih 20 tahun tidak digunakan selepas jalan dari Kerambit ke Lipis siap.
“Bagi kami perkhidmatan kereta api bukan asing bagi generasi lama kerana ia adalah perkhidmatan utama ketika itu dan kami menaikinya sejak kanak-kanak,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE