Ku Li letak jawatan Pengerusi Lembaga Jemaah Penasihat UMNO

Ku Li letak jawatan Pengerusi Lembaga Jemaah Penasihat UMNO

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah peletakan jawatan sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO.

Memetik laporan portal Astro Awani hari ini, Tengku Razaleigh menghantar surat memaklumkan perkara itu kepada Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Isnin lalu. 

Dalam surat itu Tengku Razaleigh menyatakan kekecewaan terhadap jemaah menteri pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Perhimpunan Agung UMNO 2020 sudah meluluskan sebulat suara usul untuk memutus sebarang kerjasama dengan BERSATU, tetapi usul itu mengambil masa untuk dilaksanakan.

“Bagaimanapun apabila usul itu dikuatkuasakan, ia memberi kesan segera sehingga pimpinan kerajaan yang tidak mempunyai sokongan sebagaimana dikehendaki Perlembagaan terpaksa meletak jawatan tanpa menunggu pengundian menolaknya di Dewan Rakyat,” katanya.

Tambahnya, sehubungan itu, beliau memutuskan untuk meletak jawatan sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO.

“Dengan surat ini saya memohon untuk berundur daripada jawatan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, jawatan yang tidak berperlembagaan, berkuat kuasa mulai tarikh surat ini.

“Saya suka juga mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kerana memberi saya kesempatan memainkan peranan kecil dalam perjalanan parti kita,” ujarnya.