MENERUSKAN kejuaraan menjadi misi Kuantan A pada saingan sirkit kedua Liga Sepak Takraw Pahang di Arena YAM Tengku Muda Pahang dan Dewan Jubli Maran, esok.
Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Daerah Kuantan, Mohd Azam Yacob berkata, walaupun berhadapan kemelut kehilangan pemain disebabkan wabak Covid-19, usaha memburu kejuaraan kedua tetap diteruskan.
Menurutnya, cabaran sirkit kedua Liga Sepak Takraw Pahang lebih berat berbanding sirkit pertama di Cameron Highlands, Januari lalu.
Bagaimanapun, katanya, selaku juara bertahan usaha menjulang kejuaraan kali kedua berturut-turut tetap menjadi misi utama.
“Saya berharap semua pemain dapat memberi tumpuan pada saingan sebenar. Kehilangan beberapa pemain utama bukan faktor untuk menyerah kalah.
“Kuantan A tetap membawa misi mengekalkan kejuaraan sementara Kuantan B dan C berusaha untuk memberi saingan terbaik,” katanya, dihubungi di sini, hari ini.
Sirkit kedua Liga Sepak Takraw Pahang di Maran bagi merebut Piala Ketua UMNO Bahagian Maran, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin turut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM4,000.
Tiga puluh enam pasukan akan bersaing bagi memburu kejuaraan seterusnya layak beraksi pada sirkit akhir merebut Piala YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, merangkap Ketua UMNO Bahagian Bera, Jun depan. – MOHD IMRAN IZZAD