KUANTAN A muncul juara sirkit ketiga Liga Sepak Takraw Pahang (LSTP) selepas menewaskan Sukma B, 21-15 dan 21-12, di Gelanggang Desa Murni, di Temerloh, semalam.
Sebelum itu, Kuantan A terpaksa berhempas pulas kira-kira sejam untuk menewaskan Lipis A 18-21, 21-19, 15-12, pada saingan separuh akhir.
Bagaimanapun, Sukma B yang dibimbing bekas pemain kebangsaan, Iskandar Arshad mudah mengalahkan Raub A 21-15 dan 21-7.
Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Daerah Kuantan, Mohd Azam Yacob berkata, kejayaan pada sirkit ketiga itu hasil kesungguhan barisan pemain yang turun dengan misi menjulang kejuaran keseluruhan Liga Sepak Takraw Pahang di Bera, Jun depan.
Menurutnya, kecemerlangan Kuantan A bermula apabila muncul juara sirkit pertama di Cameron Highlands, Januari lalu.
“Saya amat berpuas hati dengan kejayaan kedua pada Liga Sepak Takraw Pahang kali ini, semangat tinggi pemain sepanjang saingan faktor utama kejayaan diraih,” katanya. –
MOHD IMRAN IZZAD