Kuantan bakal naik taraf bandaraya

Kuantan bakal naik taraf bandaraya

Oleh Helmy Abd Rahman Abdul Hamid

KUANTAN: “Kita sudah bersedia,” demikian reaksi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Dato’ Hamdan Hussin berhubung persiapan bagi Kuantan untuk dinaik taraf menjadi bandar raya.

Beliau berkata, persediaan sudah dilakukan sejak tahun lalu membabitkan kos kira-kira RM100 juta yang diperoleh daripada Kerajaan Pusat, negeri dan menggunakan dana MPK sendiri.

“Kita hanya menunggu DYMM Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah) membuat pengisytiharan bagi menaik taraf Kuantan menjadi bandar raya.

“Ramai yang sudah maklum mengenai hal ini dan bagi masyarakat, tentulah mereka menaruh harapan tinggi pihak majlis (MPK) menyediakan perkhidmatan yang dinaik taraf termasuk dari segi prasarana, pengangkutan awam dan pelbagai perkhidmatan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Fikrah Pahang ketika ditemui di Kompleks MPK di sini, baru-baru ini.

Kerajaan negeri sebelum ini memperoleh kelulusan daripada Kabinet untuk menaik taraf Kuantan sebagai sebuah bandar raya yang dimaklumkan menerusi surat daripada
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Dalam perkembangan lain, Hamdan berkata,
pihaknya menyasarkan kutipan cukai taksiran sebanyak RM88.6 juta untuk tahun ini berbanding sekitar RM40 juta tahun lalu.

“Saya ingin maklumkan pada penggal kedua berakhirnya tempoh bayaran cukai tahun ini, masih terdapat tunggakan cukai iaitu membabitkan 56,228 pemilik premis kediaman dengan jumlah tunggakan sebanyak RM22.71 juta.

“Begitu juga sektor perniagaan membabitkan akaun daripada 4,835 premis perniagaan dengan jumlah tunggakan sebanyak RM12.1 juta,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai dan pemilik perniagaan yang belum melunaskan tanggungjawab membayar tunggakan cukai taksiran supaya segera berbuat demikian.