Kuantan dilanda banjir, Raub kali kedua

Kuantan dilanda banjir, Raub kali kedua

KUANTAN: Banjir mula melanda daerah ini apabila lima pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan penduduk terjejas banjir, pada pagi ini. 

Menurut sekretariat pengurusan bencana negeri Pahang, 226 penduduk daripada 50 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Beserah, di SK Sungai Karang (67 penduduk, 20 keluarga) dan di SK Sungai Ular (16 penduduk, 4 keluarga). 

Selain itu, sekurang-kurangnya 185 penduduk daripada 45 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelindung. 

Raub yang dilanda banjir kali kedua sejak semalam pula kekal dengan satu PPS beroperasi di Dewan Kampung Pia yang merekodkan 40 penduduk daripada 13 keluarga. 

Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan hujan berterusan sehingga 21 Disember ini, yang boleh mengakibatkan risiko banjir kilat di kawasan rendah di Pahang. – KHALEEF FITRI