Kuantan dipilih bandar kurang karbon

Kuantan dipilih bandar kurang karbon

KUANTAN: Kuantan dipilih sebagai bandar kurang karbon di Pahang melalui program ‘Kuantan Car Free-Green Hour 2022’ yang akan dilaksanakan setiap bulan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata usaha itu dilakukan untuk mempertingkatkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar di kalangan masyarakat.

Sebagai inisiatif awal dalam menjayakan program itu, katanya, kerajaan negeri melalui Tourism Pahang menjadikan bandar raya Kuantan kurang karbon sebelum disusuli daerah lain di negeri ini.

“Justeru, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) akan memilih tarikh untuk menjayakan program itu yang dijangka diadakan pada setiap bulan.

“Jika mendapat sambutan baik, daerah lain di negeri ini akan mengadakan program yang sama selepas ini,” katanya kepada media pada program Kuantan Car Free-Green Hour 2022, di sini hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Dato’ Hamdan Hussin dan Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim.

Pelbagai acara diadakan seperti berbasikal, bola sepak jalanan, senamrobik, pameran lukisan dan jualan makanan, minuman dan pakaian di sekitar Kuantan Art Street.

Dua jalan iaitu Jalan Mahkota dan Jalan Besar ditutup untuk menjayakan program berkenaan. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN