Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar hiasan
KUANTAN: Impian seorang wanita untuk membeli seekor kucing baka jenis British Shorthair dengan harga murah bukan sahaja tidak kesampaian, malah dia turut ditipu sebanyak RM3,230.
Kejadian berlaku kelmarin itu bermula apabila mangsa berusia 24 tahun, tertarik untuk membeli haiwan berkenaan selepas melihat iklan penjualan kucing di media sosial kira-kira jam 1.30 petang.
Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa kemudian menghubungi suspek melalui aplikasi WhatsApp dan menyatakan hasratnya untuk membeli kucing berkenaan.
Katanya, suspek memaklumkan terdapat dua ekor kucing baka jenis itu yang dijual pada harga RM240 hingga RM290 dan mangsa bersetuju untuk membelinya.
“Mangsa juga diminta membuat pelbagai bayaran termasuk proses untuk mendapatkan sijil kelahiran dan dokumen lain selepas membuat pembayaran pertama.
“Mangsa seterusnya membuat pembayaran seperti diminta dengan melakukan empat pemindahan wang secara online berjumlah RM3,230 bagi pelbagai urusan berkaitan haiwan itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek memberi jaminan wang berkaitan proses pembelian itu akan dikembalikan selepas semua urusan jual beli selesai.
Bagaimanapun katanya, selepas bayaran dibuat, suspek mula menyalahkan mangsa kerana membuat pemindahan wang RM1,900 sebanyak dua kali.
“Mangsa mula curiga dan memaklumkan tidak mahu meneruskan urusan pembelian serta meminta wang miliknya dikembalikan.
“Suspek kemudian memaklumkan wang itu tidak boleh dipulangkan semula dan meminta mangsa membuat bayaran terlebih dahulu bagi urusan pembatalan, namun mangsa enggan berbuat demikian,” katanya.
Susulan itu, Mohd Wazir berkata, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.
“Modus operandi digunakan suspek ialah dengan mempedaya mangsa dengan menawarkan kucing untuk dijual melalui media sosial.
“Tawaran itu mendorong mangsa memasukkan wang ke dalam akaun bank yang diberikan namun kucing dijanjikan tidak diperoleh selain mengalami kerugian wang. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.