Kuih ‘tiga beradik’ laris, hanya muncul apabila Ramadan tiba

Kuih ‘tiga beradik’ laris, hanya muncul apabila Ramadan tiba

KUANTAN: Setiap kali Ramadan, kuih ‘tiga beradik’ pastinya menjadi antara juadah utama berbuka puasa di beberapa daerah di Pahang.

Ia terdiri daripada tiga jenis kuih berbeza iaitu badak kubang, dodol kukus dan pepena atau turut dikenali sebagai pena.

Pengusaha kuih itu, Siti Hasimah Sheikh Nordin, 49, berkata kuih tiga beradik hanya muncul setiap kali Ramadan kerana amat sukar ditemui pada bulan lain.

Katanya, proses membuat tiga jenis kuih berkenaan tidak terlalu sukar, hanya memerlukan kesabaran untuk menguli selain perlu memastikan santan benar-benar segar supaya kuih berlemak dan menarik.

“Kuih tiga beradik adalah juadah tradisional lebih terkenal di Maran terutama di Kampung Chenor,” katanya. 

“Sambutan terhadap kuih tiga beradik amat menggalakkan sepanjang Ramadan kali ini. Kira-kira 300 bungkus kuih tiga beradik habis dijual setiap hari,” katanya yang menetap di Taman Seri Inderapura.  – MOHD IMRAN IZZAD