KUANTAN: Permintaan terhadap kuih bakar tradisional pada Ramadan kali ini meningkat dua kali ganda berbanding hari biasa.
Pengusahanya, Khatijah Ali, 70, mengakui perkara itu apabila tempahan kuih tradisional seperti kuih bakar, akok dan bingka mencecah jualan sehingga kira-kira seribu biji sehari.
Menurutnya, setiap hari dia mampu menjual kira-kira 500 kuih bakar, lebih 400 akok dan seribu bingka.
“Pada hujung minggu, jumlah tempahan akan bertambah disebabkan pelanggan semakin ramai mengunjungi kedai saya yang terletak di Kampung Balok Baru.
“Kebanyakan pelanggan yang membeli kuih bakar, akok dan bingka tradisional itu adalah di kalangan mereka yang berusia 40 tahun ke atas,” katanya, di sini.
Beliau berkata, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, kerabat diraja lain dan orang kenamaan Pahang juga antara pelanggan tetapnya.
“Baginda sering menempah kuih daripada saya dan antara juadah yang digemari baginda ialah bingka,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD