Kuipsas kini dikenali UnIPSAS

Kuipsas kini dikenali UnIPSAS

BENTONG: Mulai hari ini,  Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kuipsas) dikenali sebagai Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah atau singkatannya UnIPSAS. 

Penjenamaan semula ini seiring dengan penaik tarafan institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan kepada universiti penuh.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata ia sekali gus menjadikan UnIPSAS muncul sebagai universiti Islam pertama di Pantai Timur.

MB Pahang berucap pada sidang media di Majlis Perbandaran Bentong (MPB)

Beliau yang juga Pro-Canselor universiti berkenaan berkata, pendaftaran UnIPSAS secara rasmi hari ini lebih bermakna kerana pada tahun ini ia menyambut Jubli Perak sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-25. 

“Sukacita dimaklumkan, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah, berkenan menerima menghadap Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr Noraini Ahmad di Istana Negara hari ini bagi menerima Sijil Pendaftaran Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kuipsas) sebagai sebuah Universiti Penuh. 

“Ini bermakna, bermula 1 Disember 2021 bersamaan 25 Rabiulakhir 1443H, KUIPSAS secara rasmi dikenali sebagai UnIPSAS,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Perbandaran Bentong (MPB) di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak dan Rektor Kuipsas, Prof Madya Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, peranan Institusi Diraja Pahang sangat signifikan sejak awal penubuhan Kolej Islam Pahang pada 1996. 

“Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sangat mengambil berat perkembangan IPT ini dan baginda dilantik sebagai Canselor KUIPSAS pertama pada 2016. 

“Kini, KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilantik sebagai Canselor KUIPSAS yang kedua sejak 2019 bagi menggantikan nenda Baginda,” katanya.

Katanya lagi, pendaftaran UnIPSAS secara rasmi sebagai sebuah universiti penuh adalah satu kejayaan semua pihak di negeri ini. 

“Komitmen yang diberikan oleh Kerajaan Pahang juga menjadikan UnIPSAS terus berkembang maju dalam semua aspek. 

“Penyaluran geran tahunan oleh Kerajaan Pahang telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyediakan perkhidmatan pengajian tinggi yang terbaik kepada penuntutnya,” katanya. 

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Pahang terbabit secara langsung menentukan hala tuju UnIPSAS dari semasa ke semasa melalui anak syarikatnya, Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn Bhd yang memiliki universiti berkenaan. 

“Selepas dinobatkan sebagai universiti Islam pertama di Pahang dan Pantai Timur, UnIPSAS boleh memainkan peranan lebih luas dalam perkembangan semasa sektor pengajian tinggi di Malaysia melalui hala tuju jelas iaitu menyumbang kepada sasaran 70 peratus enrolmen pendidkan tinggi negara serta menyumbang kepada sasaran lapan peratus kadar enrolmen sarjana dan doktor falsafah pada 2025. 

“Pada masa ini, UnIPSAS menawarkan 27 program pengajian pada peringkat asasi, diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana. Semua program pengajian ditawarkan dalam tiga fakulti pengajian iaitu Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Pengurusan dan Informatik dan Fakulti Pengajian Bahasa dan Asasi. 

“Beberapa lagi program pengajian baharu pada peringkat ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana dan ijazah sarjana muda akan ditawarkan tidak lama lagi selepas mendapat kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” tambahnya. – HELMY ABD RAHMAN