Oleh Mohd Imran Izad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
ROMPIN: “Ini kali pertama saya melihat kulat kering yang tumbuh secara berangkai di atas dahan pokok mati. Ia suatu yang unik dan menarik,” kata Badrul Hisham Ramly, 52.

Menurutnya, kulat kering yang semakin sukar ditemui sememangnya terkenal di kalangan masyarakat Melayu dan ia menjadi antara herba yang dicampur dalam rebusan ubatan tradisional khusus untuk kaum wanita lepas bersalin.
Katanya, kulat berkenaan tumbuh subur pada ranting dan dahan pokok mati, persekitaran yang lembab membuatkan tumbuhan itu cepat membiak serta bersaiz besar dan kelihatan menarik.
“Sebelum ini saya biasa bertemu kulat kering tumbuh dengan jumlah yang tidak banyak pada satu ranting termasuk dahan kering, namun kali ini jumlahnya begitu banyak sekali.
“Saya seolah-olah tidak percaya melihat kulat berkenaan yang begitu banyak pada satu dahan kering. Cuaca lembab dalam Taman Eko Rimba (TER) Menchali ini menjadi faktor utama keadaan sedemikian berlaku,” katanya di sini, semalam.

Beliau yang bertugas dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berkata, mereka yang ingin melihat lebih dekat kulat kering boleh berkunjung ke TER Menchali, di sini, yang turut mempunyai pelbagai spesies pokok dan tumbuhan menarik.
Badrul Hisham menambah, usaha JPNP mengujudkan TER Menchali untuk memberi peluang kepada pengunjung melihat pelbagai jenis tumbuhan dan herba seperti Tongkat Ali dan Kacip Siti Fatimah yang tumbuh subur di kawasan tanah lembab.
“Mereka yang melihat dengan lebih dekat beberapa pokok herba termasuk kulat kering dan tongkat ali boleh datang TER Menchali sambil menikmati udara segar dalam hutan semulajadi,” katanya.
Tinjauan di kawasan TER Menchali mendapati tempat berkenaan menjadi antara lokasi persinggahan pelancong dalam dan luar negara berehat selepas penat memandu.
Terletak di laluan Pekan ke Mersing menjadikan tempat berkenaan terkenal di kalangan pelancong dan ia turut dilengkapi gerai makanan yang menghidang masakan udang galah yang terkenal di daerah ini.