Kuliah 5 waktu sempena Maulidur Rasul

Kuliah 5 waktu sempena Maulidur Rasul

program Tausiyah Mahabbah Cinta Rasul sempena Majlis Sambutan Maulidul Rasul

Helmy Abd Rahman
fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Kira-kira 80 jemaah memeriahkan program Tausiyah Mahabbah Cinta Rasul sempena Majlis Sambutan Maulidul Rasul 1442 Hijrah di Masjid Jamek Baiturrahman di Batu Hitam, di sini, malam ini.


Program berkenaan diisi dengan lima siri kuliah bermula selepas Subuh disampaikan Ustaz Farkhan Daie, kuliah umum selepas Jumaat oleh Ustazah Faeizah Mohd Amin, kuliah selepas Asar daripada Ustaz Syed Jaafar Sadeq Al-Kaff), majlis qasidah dipimpin Ustaz Uwais al-Qarni dan slot terakhir iaitu kuliah Maghrib disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Dalam ceramahnya, Syed Ibrahim antara lain mengajak jemaah dan hadirin mencontohi sifat mulia dan keperibadian Rasulullah SAW terutama ketika masyarakat dunia khususnya umat Islam berdepan pelbagai cabaran hari ini.
“Ketika Rasulullah berhijrah dari bumi Makkah ke Madinah, keadaan Madinah ketika itu dari segi politik amat huru-hara dan tidak sejahtera serta sering berlaku peperangan, ditambah pula dilanda wabak taun, penyakit kusta dan sopak.
“Seperti juga pandemik COVID-19 ketika ini yang tidak tahu mana puncanya, bagaimana cara merungkainya namun dengan kebijaksanaan Rasulullah, baginda memperkenalkan kempen kebersihan yang mana setiap rumah dikehendaki memiliki tandas sendiri dan baginda juga mengajarkan rakyat Madinah ketika itu mandi untuk membersihkan diri selain menyelesaikan pelbagai permasalahan lain,” katanya.
Turut sama memeriahkan majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Adansura Rabu.