Kulliah Sultan Abu Bakar bakal naik taraf, tawar program peringkat diploma

Kulliah Sultan Abu Bakar bakal naik taraf, tawar program peringkat diploma

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kulliah Al Lughah Waddin As Sultan Abu Bakar (Kulliah Sultan Abu Bakar) di Pekan, bakal dinaik taraf dengan penawaran program diploma tidak lama lagi.

  Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, bagi merealisasikan perkara itu, Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengarahkan Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak untuk bertemu dan berbincang dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Zulkifle Ali Al-Hafiz serta pengetua sekolah berkenaan.

Kulliah Al Lughah Waddin As Sultan Abu Bakar, Pekan

  “YAB Menteri Besar (Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail) meminta saya dengan Setiausaha Kerajaan negeri untuk menaik taraf Kulliah Sultan Abu Bakar dengan menawarkan program diploma.

  “Dr Zulkifle Ali akan membantu bagi menjayakan proses naik taraf ini dan saya yakin dengan kemampuan dan pengalamannya yang pernah menjadi CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) di Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) sehingga melahirkan pelajar terbaik di negara ini, bahkan ada juga di peringkat dunia,” katanya.

  Beliau berkata demikian dalam wawancara khas yang disiarkan secara langsung di laman Facebook rasmi Fikrah Pahang, malam tadi.

  Syed Ibrahim berkata, pada masa sama, Wan Rosdy juga meminta supaya bilangan sekolah agama di negeri ini ditambah.

  “Sekarang ini kita ada 18 sekolah agama dan MB (Wan Rosdy) meminta supaya ditambah supaya lebih ramai rakyat dapat menghantar anak masing-masing ke sekolah agama dengan penyediaan ruang yang lebih banyak pada masa depan.

  “Saya sudahpun meminta pihak JAIP menyediakan kertas kerja… kita ada empat sekolah agama rakyat iaitu di Tanjung Besar (Lipis), Kuala Krau (Temerloh), Ganchong (Pekan) dan Ulu Cheka (Jerantut) untuk dinaik taraf,” katanya.