Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar Mohd Imran Izzad
JERANTUT: “Saya jangkakan dapat kumpul lebih tiga tan metrik biji durian untuk disemai pada musim kali ini,” kata pengusaha tapak semaian durian, Ahmad Mustafa, dari Kampung Damak di sini.
Ahmad, 42, berkata, untuk musim tahun ini, dia sudah mengumpul dan menyemai lebih satu tan biji durian yang dibekalkan beberapa pihak di daerah ini dan Raub.
Katanya, bekalan biji diperoleh dari kilang pengeluar pes durian di Raub selain beberapa individu yang menghasilkan tempoyak secara tradisional di daerah ini.
“Musim ini saya ingin mengumpul sekurang-kurangnya tiga tan metrik biji durian kampung dan akan kumpul lebih banyak lagi sekiranya terdapat bekalan.
“Tahun lalu saya tak dapat kumpul banyak (biji durian) sebab pengeluaran buah durian tidak begitu banyak terutama di daerah ini dan Raub,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, setiap minggu dia menerima antara 500 hingga 900 kilogram (kg) biji durian daripada kilang pengeluar pes durian di Raub dengan harga RM3 sekilogram.
“Untuk memperoleh benih durian klon terbaik, beberapa proses harus dilalui, dimulai dengan biji durian dibersihkan terlebih dahulu sebelum pemilihan biji berkualiti perlu dilakukan untuk disemai dalam polibeg.
“Setiap polibeg berisi dengan serbuk kulit kelapa disemai dengan 50 biji durian dan apabila benih berumur dua bulan, cantuman biji ‘berjemaah’ dilakukan dalam polibeg dibuat,”
“Kaedah cantuman biji yang diperkenalkan di Thailand, bukan sahaja lebih mudah tetapi turut dapat menjimatkan masa, kos dan ruang ditapak semaian. Selepas cantuman mula membesar ia dipindahkan ke polibeg tunggal sebelum dijual,” katanya yang mendapat sokongan Pejabat Pertanian Daerah Jerantut.
Ahmad berkata, selain mengeluarkan beberapa durian klon terkenal antaranta Musang King, IOI, D24, Tekka, udang merah, D2, D96 dan Beserah, dia menghasilkan klon durian premium Kampung Damak membabitkan beberapa jenis berkualiti tinggi.
Dia yang juga pemborong durian berkata, setiap tahun permintaan terhadap benih pokok durian klon sentiasa bertambah hingga menyebabkan dia tidak dapat memenuhi permintaan.
“Kebanyakan pekebun inginkan benih klon durian Musang King kerana teruja dengan hasil lumayan selepas pokok berusia antara lima hingga enam tahun,” katanya menambah, pelanggannya bukan sahaja terdiri daripada pekebun di negeri ini, malah beberapa negeri lain di Semenanjung.