Oleh Muhammad Najmie
fikrahpahang@gmail.com
BERA: Belum ada kumpulan antivaksin yang memberi maklum balas untuk bersemuka dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali.
“Saya sebut antivaksin itu kerana hendak bagi memberi penjelasan mengenai kepentingan vaksinasi kerana bimbang mereka mendapat maklumat dan persepsi yang salah.
“Sehingga ini, tidak ada kumpulan antivaksin yang ‘response’ dengan saya. ‘Nobody says yes’,” katanya pada sidang media selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Triang 2, dekat sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Nor Azimi Yunus.
Pada 18 Oktober lalu, Dr Noor Azmi menyatakan KKM bercadang bersemuka dengan kumpulan antivaksin bagi memberi fakta dan penerangan berhubung vaksin Covid-19 berdasarkan kajian klinikal yang sahih.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu ketika menjawab soalan tambahan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff di Dewan Negara.
Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja, berkata program berkenaan sudah memberikan kesan positif.
“Sasaran kita 60 peratus remaja berusia di antara 12 dan 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 pada November ini manakala 80 peratus mendapat dos lengkap pada Disember.
“Alhamdulillah, kita sudah capai 60 peratus dos pertama pada 6 Oktober manakala 80 peratus pada 21 Oktober. Sekurang-kurangnya 43.4 peratus sudah lengkap dua dos vaksin,” katanya.