PEKAN: Kutipan zakat fitrah tidak rasmi bagi Pahang tahun ini mencecah sebanyak RM7.6 juta, meningkat berbanding RM7.2 juta yang diperoleh sebelum pandemik COVID-19 melanda negara pada 2019.
Pengarah Bahagian Agihan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Muhammad Hafidz abdul Halim, berkata kutipan tertinggi membabitkan daerah Kuantan yang mencatatkan lebih RM2 juta.
“Alhamdulillah, kutipan zakat fitrah belum ‘final’ (akhir) tahun ini adalah sebanyak RM7.6 juta, satu peningkatan berbanding sebelum pandemik COVID-19 sebelum ini.
“Jumlah ketika pandemik dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) adalah sekitar RM7 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian mewakili Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, pada program Hari Bertemu Pelanggan MUIP di Dewan Syarahan MUIP di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, MUIP menyasarkan agihan zakat sebanyak RM200 juta untuk tahun ini.
“Kita yakin dapat capai angka ini kerana setakat Mei (tahun ini) sahaja, kita sudah mengagihkan kira-kira RM100 juta,” jelasnya. – HELMY ABD RAHMAN