KUANTAN: Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang merekodkan jumlah kutipan zakat sebanyak RM207 juta tahun lalu, meningkat 15.4 peratus atau RM27.7 juta berbanding RM179.2 juta tahun sebelumnya.
Pengurus Besar Kanannya, Dato’ Halidan Md Daud, berkata kutipan berkenaan juga melangkaui sasaran awal ditetapkan iaitu sebanyak RM194 juta.
Beliau berkata, prestasi cemerlang itu didorong pelaksanaan pelbagai program strategi zakat, antaranya memfokuskan kepada kempen skim wakalah.
“Skim ini bermula tahun lalu dan memberi manfaat semula kepada pembayar zakat. Sebanyak 30 peratus pulangan wang zakat dikembalikan untuk diagihkan berdasarkan jumlah zakat yang ditetapkan iaitu RM50,000 bagi syarikat dan RM30,000 (individu).
“Seramai 100,000 pembayar menunaikan zakat harta tahun lalu berbanding 95,642 pembayar pada 2021 iaitu peningkatan sebanyak 4.4 peratus membabitkan penjawat awam dan swasta, badan-badan korporat serta institusi pendidikan,” katanya.
Beliau berata demikian pada sidang akhbar pada Majlis Ramah Mesra Bersama Media di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Halidan berkata, untuk tahun ini, pihaknya masih lagi memberi fokus kepada kempen Skim Wakalah Sekolah seperti tahun lalu.
“Rekod menunjukkan sebanyak 50 sekolah yang layak menerima wakalah sekolah berjaya meningkatkan prestasi potongan gaji melebihi RM3 juta. Untuk tahun ini pula, dianggarkan lebih dari 150 sekolah akan mendapat manfaat dari pemulangan semula wang zakat ini yang secara tidak langsung dapat melonjakkan kutipan potongan gaji dalam kalangan guru-guru dan kakitangan sekolah,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sempena Ramadan yang bakal tiba, PKZ Pahang mengisytiharkan Syaaban sebagai Bulan Zakat dan Wakaf bagi negeri ini.
“Objektif Bulan Zakat Dan Wakaf diadakan untuk meningkatkan kesedaran kewajiban berzakat dalam kalangan umat Islam terutamanya bakal pembayar.
“Program ini bertujuan untuk memupuk kesedaran berwakaf sebagai saham akhirat yang manfaatnya terus berkekalan untuk pewakaf,” katanya. – Fikrah Pahang
oleh: Tony