KUANTAN 29 Februari 2024. (FIKRAH PAHANG) YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini adakan pertemuan dengan 45 pelajar Malaysia termasuk lapan dari Pahang yang melanjutkan pengajian di universiti-universiti Maghribi dalam lawatan kerja ke negara berkenaan.
Wan Rosdy atau lebih mesra disapa Tok Wan hari menitipkan pesanan supaya pelajar dapat menjaga diri dengan sebaik-baiknya serta belajarlah dengan bersungguh-sungguh sehingga tamat dengan cemerlang dan apabila pulang ke tanahair bantulah kerajaan untuk pembangunan negara dan rakyat.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut menyalurkan sumbangan RM10,000 kepada Kedutaan Besar Malaysia di Rabat, Maghribi untuk menjalankan program bersama para pelajar serta sumbangan RM5,000 kepada pelajar-pelajar Malaysia menerusi Persatuan Mahasiswa Malaysia Maghribi.
“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Duta Besar Malaysia di Rabat, Tuan Yang Terutama Shahabudeen Adam Shah atas segala bantuan dalam mempermudah urusan rombongan kami dan semoga anak-anak pelajar kita terus kekal sihat dan bersemangat sepanjang meneruskan pengajian di Maghribi. Insya-Allah” katanya menerusi laman Facebook rasmi miliknya.
Oleh: Kabhi Ismail