Laluan baharu Kg Gemunchor-Kg Labu bakal merancakkan ekonomi

Laluan baharu Kg Gemunchor-Kg Labu bakal merancakkan ekonomi

LIPIS: Jalan baharu Kampung Gemunchor, Lipis ke Kampung Labu, Jerantut, yang sedang dalam pembinaan bakal merancakkan pembangunan dua daerah khususnya untuk desa tradisional sepanjang laluan itu. 

Jalan sepanjang 17 kilometer (km) yang kini sudah kira-kira 60 peratus siap itu membabitkan peruntukan RM160 juta mula dibina pada awal 2022.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad berkata, jalan baharu itu bakal meningkatkan bilangan kehadiran pelancong ke Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, selain pemangkin ekonomi setempat.

“Pembinaan jalan itu turut menjadi laluan rentas dari Cameron Highlands, Lipis dan kawasan Pahang Barat untuk ke Taman Negara Kuala Tahan dan Ulu Tembeling, Jerantut, dan sebaliknya,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Kesyukuran dan Ramah Mesra Parlimen Lipis, di sini, hari ini. – AIN HUDA AMIR