KUANTAN: Laluan FT 008 Jalan Bentong-Gua Musang berhampiran Kilang Lee Rubber, Bentong yang runtuh tahun lalu, dibuka hari ini.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di Facebook, berkata sehubungan itu, pengguna jalan raya sudah boleh menggunakan jalan berkenaan.
“Pagi ini saya telah merasmikan pembukaan laluan FT 008 Jalan Bentong – Gua Musang, Seksyen 16.00 daerah Bentong, Pahang.
“Pada tahun lalu, berlaku runtuhan di jalan ini menyebabkan ia terpaksa ditutup untuk semua kenderaan.
“Sejak itu, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) giat menjalankan kerja pembaikan cerun dan jalan dengan kos keseluruhan RM5.168 juta.
“Alhamdulillah, mulai hari ini pengguna jalan raya boleh menggunakan jalan berkenaan selepas hampir setahun kerja baik pulih dilakukan,” katanya.
Sabtu lalu, Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof memaklumkan kerja-kerja pembaikan cerun dan jalan itu dimulakan sejak 20 Januari lalu selepas berlaku runtuhan pada November 2021.
“Berlaku sedikit kelewatan disebabkan runtuhan tanah akibat hujan lebat ketika kerja pembaikan berjalan iaitu pada 18 Mac 2022,” kata Fadillah menerusi satu kenyataan. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN