KUANTAN: Kerja pembersihan dan pembaikan di sepanjang kilometer (km) 77 hingga 78 arah timur Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) siap dan sudah dibuka kepada pengguna lebuh raya sejak kira-kira 3 pagi, semalam.
Sehubungan itu, Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi,, berkata pengguna lebuh raya yang ingin ke pekan Karak tidak perlu membuat pusingan U
sebelum Plaza Tol Karak.
Menurutnya, pengguna lebuh raya juga boleh meneruskan perjalanan seperti biasa untuk sampai ke destinasi masing-masing.
“Bagaimanapun, pengguna yang menghala ke Kuala Lumpur dari Karak masih perlu melakukan pusingan U di Plaza Tol Karak.
“Pada masa ini, lorong kiri dan kanan menghala ke Kuala Lumpur dari KM66 hingga KM70 sudah dibuka sepenuhnya.
“Namun, pengguna lebuh raya dinasihatkan mematuhi papan tanda arah keselamatan apabila menghampiri lorong kontra bermula dari Sungai Dua, di KM74.8 hingga KM77.3,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ANIH memberi jaminan kepada orang ramai bahawa syarikat sentiasa dalam keadaan bersedia dan komited untuk memastikan keselamatan dan keselesaan
pengguna lebuh raya kekal sebagai keutamaan.
Untuk maklumat lebih lanjut, tepat dan terkini, sila rujuk laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook
@Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT – Line di 09 5479111/1-700-818-700. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN