Oleh Izzah Yusoff
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar ihsan Facebook JBPM Pahang
MARAN: Tiga beranak nyaris maut apabila kereta mewah Lamborghini dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar dalam kejadian di Kilometer 178.1, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), dekat sini, semalam.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila kenderaan yang dipandu lelaki berusia 28 tahun itu hilang kawalan ketika dalam perjalanan menuju Terengganu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Maran, Samsul Effendi Sulaiman berkata, kemalangan berlaku pada jam 6.16 petang semalam.
“Pemandu ialah seorang lelaki berusia 28 tahun, isteri dan seorang kanak-kanak. Bagaimanapun mereka terselamat.
“Sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran bersama sebuah jentera serta ambulans dikejarkan ke lokasi untuk operasi menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Menurutnya, kenderaan mewah itu hangus sepenuhnya dalam kebakaran itu.
“Difahamkan tiga beranak itu dalam perjalanan menuju ke Terengganu sebelum kenderaan yang dinaiki mereka hilang kawalan,” katanya.