Langit tidak selalunya cerah, pesan Wan Rosdy

Langit tidak selalunya cerah, pesan Wan Rosdy

KUANTAN: Kerajaan Pahang bangga dengan pencapaian cemerlang Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) sehingga mampu membayar dividen RM1.6 juta kepada kerajaan, kata YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, bukan mudah untuk PASFA mencapai tahap kecemerlangan seperti itu tanpa kecekapan dan komitment pengurusannya, terutama ketika ekonomi negara berdepan dengan Covid-19.

Wan Rosdy berkata, PASFA diharap sentiasa berwaspada dan tidak memandang remeh cabaran masa depan yang akan ditempuhinya bagaikan perumpamaan ‘langit tidak selalu cerah’.  

“‘Kerajaan negeri akan memberi sokongan dan perhatian atas apa juga permohonan daripada PASFA. Sebagai contoh, kita akan bagi pertimbangan khususnya dalam permohonan untuk dapatkan tanah.

“Bagaimanapun, pihak kerajaan negeri akan mengambil kira aspek alam sekitar sebelum meluluskan permohonan. Kita tak ada masalah malah lagi suka bagi tanah kepada PASFA kerana manfaatnya akan dapat diperoleh orang ramai,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Pahang kali ke-48 di Swiss Garden Beach Resort, pada 26 Mac lalu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abd Razak dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kesihatan negeri,  Dato’ Sri Norolazali Sulaiman. 

Selain itu, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PASFA, Dato’ Zamri Yaakob dan Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Dato’ Azulita Salim, turut sama dalam majlis berkenaan. 

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga mengesahkan sudah menerima permohonan PASFA membabitkan tanah ladang di Gambang dan pengurangan premium di Chegar Perah, Lipis.

“Apa yang saya boleh kata ialah permohonan tanah berkenaan (Gambang) sejak 15 tahun lalu adalah selesai, ” katanya. 

Sementara itu, katanya,  perniagaan teras PASFA iaitu kelapa sawit perlu diperkukuhkan dan diperluaskan untuk kelangsungan masa depan pertubuhan itu. – HUSIN IBRAHIM