Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Sepuluh kenderaan termasuk kereta dan jentolak musnah dalam kebakaran membabitkan sederet lapan bengkel di Jalan Tanjung Api-Padang Lalang, di sini, kira-kira 5 pagi, hari ini.
Difahamkan, terdapat enam pekerja warga asing yang mendiami bangunan berkenaan namun mereka dapat menyelamatkan diri.
Pemilik bengkel kenderaan berat, Sarjit Singh, 74, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi rakannya dan terus bergegas ke lokasi kejadian pad kira-kira 6 pagi.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, api sudah marak dan saya tidak dibenarkan untuk mendekati kawasan terbabit kerana bomba sedang bertungkus lumus memadamkan kebakaran.
“Saya dimaklum oleh saksi kejadian, api bermula dari jentolak yang terletak di depan bengkel saya untuk dibaiki namun pelik kerana jentera itu tiada bateri atau sistem elektrik untuk mencetuskan kebakaran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Pekerja bengkel kereta, Osman Mohd Yatim, 45, berkata, sepuluh kenderaan termasuk satu kereta mewah milik pelanggan di bengkel tempatnya bekerja turut musnah dalam kejadian itu.
“Saya menyewa dua lot kedai di bangunan ini dan kedua-duanya musnah termasuk kereta yang berada di dalamnya. Namun, beberapa kereta pelanggan di luar bengkel terselamat,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi panggilan 999, pada 5.06 pagi.
“Tiga jentera bersama 28 anggota termasuk pegawai dari Balai JBPM Kuantan, Indera Mahkota dan Gebeng dikerahkan ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.
“Kebakaran memusnahkan kira-kira 85 peratus bangunan terbabit namun punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.