KUANTAN: Lapan janji dan komitmen Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid jika menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Mustaffar Kamal, berkata komitmen itu ialah menyediakan skim perumahan mampu milik kepada penduduk DUN Beserah yang berkahwin dan bekerja tetapi tidak mempunyai penyata pendapatan.
Selain itu, katanya, beliau akan berusaha menyediakan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), mini hospital dan pusat penempatan banjir bagi kemudahan di kawasan Chendor, Cherating dan Sungai Ular.
“Aktiviti, acara dan kemudahan pelancongan akan dipertingkatkan dalam usaha merancakkan industri pelancongan di pesisir pantai.
“Aspirasi golongan muda tidak dilupakan dengan membina hentian bas rapid bagi memberikan keselesaan, keselamatan kepada pengguna dan memperkasa ekonomi nelayan dan penjaja,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi BN Indera Mahkota berkata demikian pada sidang media Janji dan Komitmen Calon BN Beserah, di sini, semalam.
Katanya, janji dan komitmen itu disebabkan tiada perubahan di DUN Beserah yang dilaksanakan pembangkang selama tiga penggal.
“Tawaran berkhidmat kepada rakyat di DUN Beserah berdasarkan pengalaman lebih 40 tahun saya dalam pentadbiran, korporat dan politik,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN