Lapan penternak di Pekan terima 12,000 benih ikan

Lapan penternak di Pekan terima 12,000 benih ikan

PEKAN: Jabatan Perikanan Negeri Pahang mengagihkan bantuan benih ikan tilapia merah dan kerai lampam kepada lapan penternak ikan sangkar daerah ini.

Masing-masing menerima 1,500 benih kedua-dua spesies berkenaan yang dikeluarkan Pusat Pembenihan Aquakultur Perlok, Jerantut.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pahang, Abdullah Jaafar berkata, setiap tahun pihaknya akan memberi bantuan benih ikan kepada kumpulan sasar di Pahang dalam usaha membantu meringankan beban mereka.

“Di Pekan terdapat sekurang-kurangnya 450 penternak berdaftar dengan kebanyakan mereka menternak ikan patin,  tilapia merah, kerai lampam dan baung untuk pasaran tempatan dan luar Pahang.

“Pengeluaran ikan air tawar sebagai sumber makanan di daerah ini amat membanggakan selain Temerloh dan Jerantut,” katanya, pada 30 Jun lalu. 

Penternak ikan sangkar di Kampung Pulau Manis, di sini, Sharifah Yusnida Saiyed Ibrahim, 43 berkata, dia menerima bantuan 500 kerai lampam dan seribu tilapia merah.

“Saya bersyukur dengan bantuan diberikan oleh Jabatan Perikanan Negeri Pahang yang sentiasa membantu golongan penternak baharu menceburi bidang ternakan ikan sangkar,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD