KUANTAN: Kira-kira 8,000 penjawat awam bakal menerima bonus RM1,200 seorang melalui Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 Kerajaan Pahang.
Pengumuman itu dibuat YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Sumbangan Awal Persekolahan Murid Tahun 1 bagi Tahun 2022, di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemberian bantuan itu diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang bersetuju dengan peruntukan keseluruhan RM9.6 juta membabitkan semua gred perjawatan.
Katanya, bantuan khas itu akan dibayar pada 20 April ini.
“Pemberian bantuan khas Aidilfitri tahun ini meningkat RM200 berbanding RM1,000 yang diberikan tahun lalu.
“Bantuan ini dapat dilaksanakan kerana kerajaan negeri mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan sebagai menghargai sumbangan serta khidmat bakti penjawat awam di negeri ini,” katanya.
Wan Rosdy berkata, bantuan khas kewangan itu diharap dapat meringankan beban penjawat awam Pahang dalam membuat persediaan menyambut AidilFitri kali ini.
“Berbelanjalah secara berhemah. Saya juga mengharapkan pemberian insentif ini dapat menyuntik semangat dan motivasi penjawat awam untuk meningkatkan prestasi kerja serta berkhidmat dengan cemerlang demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN