PEKAN: Tujuh sekolah rendah dan satu menengah di daerah ini tidak dapat memulakan
sesi persekolahan penggal ketiga, esok.
Selain masih ditenggelami banjir gelombang kedua, terdapat juga sekolah yang kini dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir.
Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, Mohd Razali Mustafar berkata, terdapat juga sekolah masih belum sempat dibersihkan sepenuhnya selepas ditenggelami banjir gelombang kedua, minggu lalu.
Katanya, Sekolah Kebangsaan (SK) Temai, SK Pulau Manis, SK Pelak, SK Kampung Acheh, SK Padang Rumbia, SK Paloh Hinai, Sk Kinchir dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai, belum boleh beroperasi.
“Aktiviti membersih sekolah bermula minggu depan apabila air surut sepenuhnya. Kita terpaksa memohon bantuan pelbagai pihak untuk membantu melakukan pembersihan antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Sebagai contoh di SK Temai yang turut menjadi PPS kini masih terdapat air bertakung, kita memohon bantuan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pekan menggunakan pam untuk menyedut air keluar ke sungai,” katanya, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga merayu institusi pengajian tinggi (IPT), persatuan belia, agensi kerajaan dan swasta untuk memberi bantuan tenaga membersih lapan sekolah yang ditenggelami banjir gelombang kedua. – MOHD IMRAN IZZAD.