KUANTAN: Kerajaan Pahang akan menyediakan lapan unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini berbanding enam unit tahun ini.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata ia membabitkan pembinaan 336 unit rumah dengan nilai keseluruhan lebih RM25 juta, namun bergantung kepada hasil kerajaan negeri sama ada mencapai sasaran RM1 bilion atau tidak.
Katanya, untuk tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM20 juta untuk membina 269 unit RRP.
“Seperti saya umumkan pada pembentangan Belanjawan Pahang 2022 pada 6 Disember tahun lalu, Kerajaan Pahang meluluskan projek pembinaan RRP pada tahun ini meskipun menampung kenaikan kos pembinaan daripada RM65,000 kepada RM75,000 seunit.
“Sebagai tambahan, setiap penerima RRP juga akan menerima beberapa barang keperluan dan perabot bernilai RM2,000 ringgit demi keselesaan seisi keluarga di kediaman baru,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran RRP 2022 di Tanjung Lumpur di sini, hari ini.
Hadir sama, Yang Dipertua (YDP) DUN Pahang, Dato’ Sri Ishak Muhamad dan barisan EXCO kerajaan negeri.
Terdahulu dalam ucapannya, Wan Rosdy menasihatkan penerima supaya menjaga rumah diterima dengan sebaiknya.
“Kata pepatah, ‘tiada rotan, akar pun berguna juga’. Dalam konteks hari ini, kita harus sentiasa bersyukur jika ada memiliki kediaman sendiri kerana hidup menumpang walau sebagaimana mewah sekalipun tidak sama dengan hidup di dalam rumah milik kita sendiri.
“Anugerah rumah ini ‘laksana bulan jatuh ke riba’… jagalah rumah ini dengan sebaik-baiknya kerana untuk mendapatkan rumah ini ia terpaksa melalui pelbagai proses saringan yang teliti sebelum tuan-tuan dan puan-puan terpilih,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN
“