Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dijangka jana GDV RM150 bilion

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dijangka jana GDV RM150 bilion

 

KUANTAN: Projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan yang dijangka beroperasi pada 2026, bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri ini membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM7.5 bilion setahun atau RM150 bilion bagi tempoh 20 tahun.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri juga menyasarkan menguasai sekurang-kurangnya satu peratus daripada pasaran perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan pesawat (MRO) Asia Pasifik yang dianggarkan bernilai RM15 trilion.

“Komponen projek ini membabitkan 70 peratus untuk MRO dan baki 30 peratus pula adalah bagi pengoperasian lapangan terbang itu sendiri.

“Pembangunan projek ini akan dibangunkan di atas tanah seluas 5,042 hektar di kawasan Gebeng, Kuantan secara usahasama iaitu melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) berkonsepkan pembangunan secara ‘Build-Operate-Own’ (BOO) di mana pengoperasian lapangan terbang ini akan dikendalikan pihak syarikat sepenuhnya melalui pembentukan syarikat tujuan khusus (SPV) iaitu Pahang Airport Berhad,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media sempena dua perjanjian persefahaman (MoU) bagi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan pemajuan pembangunan bercampur Bandar Aero-angkasa, hari ini.

Terdahulu, beliau sempat mengiringi KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyaksikan majlis MoU itu di sini, hari ini.

MoU bagi Projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Corporation Sdn Bhd, Dato’ Mohd Khusaini Harumaini yang mewakili Kerajaan Pahang bersama Pengerusi Eksekutif Gading Group Berhad, Dato’ Sri Johari Harun (selaku pemaju utama) serta Ketua Perwakilan AVIC Intl ke Malaysia, Zhuo Yue (selaku rakan strategik).

Projek pembinaan lapangan terbang itu membabitkan dengan kos pembangunan sebanyak RM2 bilion.

Bagi pemajuan pembangunan bercampur Bandar Aero-angkasa, MoU ditandatangani Pengerusi Eksekutif Gading Group Berhad, Dato’ Sri Johari Harun (pemaju utama) dan Pengarah Syabas Seribumi Sdn Bhd, Mohamad Nor Hamid (rakan strategik).

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, pelaksanaan projek itu diilhamkan pada akhir 2019 dan mendapat kelulusan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-39 yang dipengerusikan YAB Perdana Menteri pada 21 Oktober 2021.

“Projek ini adalah projek berimpak tinggi membabitkan pemindahan lapangan terbang sedia ada ke kawasan baharu dan seterusnya menyokong Rancangan Fizikal Negara ke-3 iaitu sebagai bandar pembangunan transit nasional (udara, darat dan laut) secara bersepadu.

“Pelaksanaan projek ini turut mengambil kira faktor hub ekonomi lain kerana ia terletak di Kawasan Industri Gebeng selain berhampiran dengan Pelabuhan Kuantan dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta menjadi pintu masuk utama ke negeri di Pantai Timur,” jelasnya.

Menurutnya, projek berkenaan juga bakal membuka peluang pekerjaan baharu dengan sasaran 20,000 peluang pekerjaan bagi pengoperasian lapangan terbang dan 30,000 pekerjaan lain membabitkan tenaga kerja mahir dan separuh mahir melalui pembangunan sektor perindustrian, perkhidmatan dan pelancongan.

“Melalui projek ini juga, kerajaan negeri menyasarkan peningkatan kedatangan seramai 40.79 juta pelancong bagi 2050, selepas mengambil kira situasi normal tanpa isu pandemik dan kemasukan pelabur-pelabur baharu.

“Kerajaan Pahang sentiasa komited menjadikan negeri ini mesra pelabur dengan menyediakan persekitaran pelaburan kondusif kepada pelabur dan mengembangkan perniagaan mereka di Pahang.

“Justeru, saya berharap dengan termeterainya MoU ini, perancangan untuk mewujudkan Bandar Aero-Angkasa Pahang ini dapat direalisasikan mengikut perancangan dan seterusnya akan menjadikan Pahang sebagai pilihan utama pelabur berdasarkan kepada perkhidmatan yang disediakan nanti selain faktor geo-ekonomi yang strategik di Pantai Timur,” katanya.

Gading Group Berhad adalah pemaju utama yang dilantik oleh Kerajaan Pahang bagi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan pemajuan pembangunan Bercampur Bandar Aero-angkasa.

Syarikat berkenan mempunyai kepakaran perniagaan dalam bidang aero-angkasa antaranya sebagai penyedia kelengkapan dan perkhidmatan bagi pesawat udara dan mesin atau kelengkapan lain berkaitan perkhidmatan udara. – HELMY ABD RAHMAN