Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Kerajaan Pahang meminta kerjasama masyarakat supaya membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) jika mendapati ada pihak tidak bertanggungjawab merosakkan kemudahan awam, termasuk mencuri pokok bunga hiasan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda, berkata maklumat itu penting bagi mengelak kerajaan menanggung kerugian.
“Kemudahan awam yang disediakan termasuk pokok bunga hiasan bertujuan pengindahan. Oleh itu, perbuatan itu disifatkan tidak beretika,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau mengulas Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) rugi RM2,500 selepas 150 bunga hiasan spesies ‘ixora sunkist’ dicuri di Jalan Kuantan-Gambang, dekat Taman Tas.
Perbuatan terbabit amat dikesali ketika pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sedang mengindahkan jalan berkenaan.