Laungan bossku berkumandang di SASICC

Laungan bossku berkumandang di SASICC

KUANTAN: Laungan ‘bossku’ bergema di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) hari ini sebaik YAB Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan nama Dato’ Mohd Nizar Najib bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini. 

Anak sulung bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak itu menggantikan penyandang kerusi berkenaan Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi Sh Ali yang akan bertanding Parlimen Pekan.

Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, berkata secara keseluruhannya, BN Pahang menurunkan 63 peratus muka baharu untuk PRU15, Bagi kerusi Parlimen. 

“Seperti diumumkan Datuk Seri Presiden (Dr Ahmad Zahid Hamidi) malam tadi, BN menampilkan lapan muka baru daripada 14 kerusi Parlimen di Pahang. 

“Bagi kerusi DUN pula, 27 daripada 42 kerusi atau 64 peratus adalah calon baru. Kombinasi ini ramuan strategik bagi memastikan kesinambungan inisiatif yang dirancang dan percambahan idea segar serta baru,” katanya ketika mengumumkan nama calon untuk bertanding kerusi DUN di Pahang pada PRU15.

Kejutan berlaku apabila nama EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Dato’ Sri Norolazali Sulaiman tidak tersenarai baik untuk kerusi Parlimen, mahupun DUN Guai yang disandangnya.

Sebaliknya BN mempertaruhkan muka baru, Dato’ Sabariah Saidin untuk bertanding di DUN berkenaan menggantikan Norolazali.

Sabariah adalah seorang daripada tujuh calon DUN wanita yang bakal membawa panji BN pada PRU kali ini.

Seramai enam calon daripada MCA yang mana semuanya muka baru bakal bertanding atas tiket BN untuk kerusi DUN di Tanah Rata (Wong Yap Wah), Tras (Lim Teck Hoe), Teruntum (Tee Choon Ser), Mentakab (Wong Tze Shiang), Bilut (Wong Siew Mun) dan Triang (Yee Cheng Hwa).  

Tiada calon daripada MIC tersenarai untuk bertanding mana-mana DUN di Pahang pada PRU15. – HELMY ABD RAHMAN