Laungan Daulat Tuanku bergema di ladang YP Plantation

Laungan Daulat Tuanku bergema di ladang YP Plantation

KUANTAN: Laungan Daulat Tuanku berkumandang mengiringi keberangkatan tiba KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hasanal Ibrahim Alam Shah di ladang YP Plantation di Gambang di sini, hari ini.

Jelas sekali, laungan berulang kali oleh seluruh warga kerja ladang berkenaan menandakan kegembiraan atas keberangkatan tiba baginda bertiga yang turut diiringi YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan Exco kerajaan negeri.

Berkongsi mengenai lawatan berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata Baginda Tuanku berkenan mendengar taklimat oleh Pengurus Besar YP Plantation Holdings Sdn Bhd (YP Plantation), Muhammad Fairuz Kamal Mat Noh.

“Baginda bertiga seterusnya berangkat melawat ladang dan kediaman warga ladang berkenaan,” katanya selepas selesai majlis. 

Untuk rekod, YP Plantation memiliki 80,354 ekar (32,518 hektar) ladang sawit dengan tenaga kerja seramai 2,340 orang.

Syarikat itu juga berjaya meminimumkan pengambilan pekerja asing hampir 50 peratus dengan memperkenalkan program Perantis. 

Menerusi program itu, syarikat mengambil inisiatif menyediakan latihan dan peluang bagi mereka yang berminat dalam sektor perladangan kelapa sawit.

Pelbagai kemudahan dan insentif menarik disediakan bagi mereka yang layak dan peserta didedahkan dengan latihan asas serta praktikal bagi berdepan dunia pekerjaan sebenar. 

Mereka juga memperoleh elaun minimum RM1,000 hingga RM4,000 sebulan dengan kebajikan harian disediakan. – HELMY ABD RAHMAN