Lautan putih meriahkan Pahang Berselawat

Lautan putih meriahkan Pahang Berselawat

KUANTAN: Lautan putih memenuhi hampir segenap pelosok Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Jalan Teluk Sisik di sini malam tadi apabila dihadiri lebih 5,000 orang dalam acara Pahang Berselawat Sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang 2022.

Program bertema pakaian putih dan julung kali diadakan di Pahang itu bermula jam 6.45 petang sebelum berakhir 11.45 malam serta dipenuhi pelbagai pengisian ilmu oleh tokoh agama terkenal tanah air serta dari luar negara.

Acara dimulakan dengan solat Maghrib dan Isyak berjemaah yang turut disertai YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad serta Mufti Pahang Dato’ Sri Dr Abdul Rahman Osman.

Hadirin ternyara bersemangat mengalunkan selawat dan qasidah diikuti persembahan Cahaya dan Bunyi oleh Yayasan Al-Jenderami sebelum tausiah disampaikan pendakwah bebas, Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid.

Sementara itu, Wan Rosdy dalam ucaptamanya memuji kejayaan penganjuran program berkenaan dan mencadangkan supaya ia dijadikan acara tahunan.

“Program ini cukup bersejarah dan bermakna, kerana buat julung kalinya, kita menghimpunkan para hufaz pada skala besar untuk sama-sama berselawat serta mendekatkan diri kepada Allah SWT.

“Lebih penting, program ini diadakan bagi menghargai sumbangan serta peranan besar yang dimainkan pusat-pusat tahfiz bersama tenaga pengajarnya di seluruh Pahang dalam melahirkan modal insan berkualiti di dunia dan di akhirat, iaitu para hufaz sekalian. Sesungguhnya, Kerajaan Pahang amat menghargai peranan dan sumbangan yang cukup bernilai ini,” katanya.

Pada majlis sama, Wan Rosdy turut menerima Ijazah Sanad Hadis dan dipakaikan selempang oleh pakar hadis, Sheikh Mustafa An-Nadwi. – HELMY ABD RAHMAN