Lebatnya kurma di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1

Lebatnya kurma di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1

 

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN: Pokok kurma yang sedang lebat berbuah kini menjadi tarikan utama pengunjung Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini.

Kakitangan masjid, Zainulddin Lela, 62, berkata, ini kali pertama pokok berkenaan berbuah sejak lebih sepuluh tahun ditanam oleh pengurusan masjid yang menjadikanya sebagai pokok hiasan.

Dia yang bertugas di masjid berkenaan berkata, kini terdapat 10 pokok kurma di kawasan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, namun hanya sepokok sahaja berbuah.

“Pengunjung pasti akan mencarinya untuk melihat lebih dekat. Ia suatu yang dianggap luar biasa kerana jarang dilihat. Mereka juga tidak melepaskan peluang bergambar. Saiz pokok pula agak rendang,” katanya. 

Zainulddin berkata, pihak pengurusan masjid tidak menyangka selepas menunggu sekian lama akhirnya impian melihat pokok kurma yang ditanam itu berbuah menjadi kenyataan awal bulan lalu.

“Ada antara pengunjung ke masjid ini berpeluang merasa buah yang masak. Mereka kata rasanya manis tetapi berbeza dengan kurma import,” katanya yang enam tahun bertugas di masjid negeri.