Lebih 1 tan ikan segar beku diagihkan kepada 310 keluarga yang dikenakan PKPD

Lebih 1 tan ikan segar beku diagihkan kepada 310 keluarga yang dikenakan PKPD

Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

PEKAN: Lebih satu tan metrik ikan segar sejuk beku diagihkan kepada 310 keluarga yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Permatang Durian dan Kampung Badong Dalam, Merchong di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Arif berkata, setiap keluarga menerima tiga kilogram ikan segar itu.

Katanya, sumbangan itu inisiatif beliau dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang.

“Penduduk juga menerima barang makanan lain bagi memastikan mereka tidak terputus punca bekalan makanan sepanjang tempoh pelaksanaan PKPD yang diadakan sejak awal September lalu.

“Sumbangan ini adalah bantuan tambahan untuk penduduk selain daripada bantuan sebelum ini yang diberikan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Kerajaan Pahang dan Parlimen Pekan termasuk agensi agensi lain bagi meringankan beban mereka,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap penduduk terus kekal bertenang dan sentiasa patuh kepada arahan dan prosedur operasi standard (SOP )yang ditetapkan.

“Teruskan bermunajat kepada Allah SWT dan sentiasa berdoa agar ujian ini segera berakhir serta kehidupan kita semua akan kembali normal seperti dahulu. Insya-Allah,” katanya.