KUANTAN: Seramai 1,110 pegawai dan anggota pelbagai agensi keselamatan bersiap sedia membantu dalam operasi menyelamat bagi menghadapi Monsun Timur Laut yang dijadual bermula pertengahan bulan depan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata ia membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selain Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Secara keseluruhannya, sebanyak 41 bot akan digunakan untuk operasi membantu dan menyelamat mangsa banjir,” katanya yang ditemui media selepas Majlis Pameran dan Ujian Aset Menyelamat Daerah Kuantan di sini, hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata, setakat ini, aset yang ada termasuk kenderaan empat roda, lori, van dan kereta juga dalam keadaan baik.
Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk yang berada di kawasan rendah dan berisiko mengalami banjir supaya sentiasa peka dengan keadaan semasa. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN