PEKAN: Lebih 1,000 pesawah di daerah ini yang terkesan akibat banjir tahun lalu, menerima bantuan Tabung Bencana Padi (TBTP) setakat 31 Mei lalu.
Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan, Muhamad Khalil Idris, berkata ia membabitkan bantuan berjumlah RM3.05 juta daripada jumlah keseluruhan hampir RM3.21 Juta.
“Bantuan TBTP berkenaan dikreditkan ke akaun bank pesawah terbabit. Bagaimanapun masih terdapat baki enam peratus atau 40 pesawah lagi yang masih belum menerima bantuan itu.
“Ia disebabkan akaun bank pesawah terbabit tidak aktif, akaun ditutup atau menggunakan akaun orang lain,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, masalah itu hanya diketahui pihaknya selepas menerima aduan daripada pesawah pada 19 Mei lalu berhubung kelewatan bayaran bantuan TBTP.
“IADA dan Agrobank sedang berusaha mengatasi masalah ini termasuk menjejaki pesawah yang mempunyai akaun bermasalah,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD.