KUANTAN: Sebanyak 274 kes baharu COVID-19 dilaporkan di Pahang setakat jam 12 tengah hari tadi, menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif di negeri ini sebanyak 102,239 kes.
Menerusi laman Facebook rasminya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang hari ini memaklumkan, jumlah kes aktif sebanyak 1,727 kes.
“Terdapat 184 kes sembuh harian manakala satu kematian baharu dilaporkan. JKN Pahang mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” petik JKN Pahang.
Sementara itu, JKN Pahang juga memaklumkan, Bentong, Jerantut, Kuantan, Maran, Temerloh, Pekan, Lipis, Raub dan Rompin kini berada dalam zon merah.
“Cameron Highlands dan Bera pula berada dalam zon oren. Untuk makluman, warna zon merujuk kepada jumlah kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari ke belakang, bukan membabitkan jumlah kes aktif.
“Zon merah membabitkan 41 kes dan ke atas, Zon Oren (21-40 kes), Zon Kuning (1-20 kes), Zon Hijau (sifar kes),” katanya. – HELMY ABD RAHMAN