KUALA NERANG: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerima 2,044 permohonan untuk membaik pulih dan membina semula rumah membabitkan kawasan luar bandar di lapan negeri terjejas banjir baru-baru ini.
Menterinya, Dato’ Seri Mahdzir Khalid berkata, 1,879 permohonan untuk membaik pulih rumah manakala 165 bina semula rumah dengan anggaran kos lebih RM38.52 juta.
“Mungkin ada tambahan lagi (permohonan), kita masih menunggu data dan maklumat. Mana maklumat yang diterima dan betul, kita jalankan (baik pulih atau pembinaan baharu rumah).
“ini termasuk yang serius seperti di Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan Naka, di sini, 16 Januari.
Mahdzir berkata kerajaan menetapkan jumlah maksimum RM15,000 bagi baik pulih rumah dan RM56,000 bagi bina semula kediaman.
“Kalau dah lantik kontraktor itu maknanya dalam sebulan atau sebelum sebulan kena siap. Kalau boleh 20 hari. Kalau buat rumah baharu pula, empat ke enam bulan. Kita harap tempoh paling pendek dapat selesaikan,” katanya.
Sementara itu, Mahdzir berkata secara keseluruhannya KPLB menyediakan peruntukan kira-kira RM150 juta bagi membaik pulih rumah dan kemudahan yang terjejas banjir di beberapa kawasan luar bandar di lapan negeri. – BERNAMA