Lebih 21,000 mangsa banjir dipindahkan ke 255 PPS di seluruh Pahang

Lebih 21,000 mangsa banjir dipindahkan ke 255 PPS di seluruh Pahang

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Pahang terus menyaksikan peningkatan mangsa banjir apabila sebanyak 21,033 mangsa daripada 5,608 keluarga terpaksa tinggal sementara di 255 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah di negeri ini.

  Maran paling teruk terjejas dengan 5,031 mangsa daripada 1,402 keluarga yang ditempatkan di 42 PPS diikuti Temerloh, 3,647 mangsa daripada 969 keluarga (46 PPS); Kuantan, 3,075 mangsa daripada 833 keluarga (26 PPS); Lipis, 2,551 mangsa daripada 675 keluarga (40 PPS); Raub, 2,443 mangsa daripada 654 keluarga (37 PPS); Jerantut, 2,328 mangsa daripada 556 keluarga (35 PPS); Rompin, 1,012 mangsa daripada 264 keluarga (tujuh PPS); Pekan, 499 mangsa daripada 134 keluarga (13 PPS) dan Bera 447 mangsa daripada 121 keluarga (sembilan PPS). 

  Aplikasi infoBencanaJKM memaklumkan, daripada keseluruhan jumlah mangsa, sebanyak 7,305 terdiri daripada lelaki dewasa, wanita dewasa (7,422), Kanak-kanak lelaki (2,966), kanak-kanak perempuan (2,831), bayi lelaki (246), bayi perempuan (265), warga emas lelaki (682), warga emas perempuan (856), Orang Kelainan Upaya (OKU) lelaki (109) dan OKU perempuan (61).

  Sementara itu, portal ttps://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan air di 10 sungai di negeri ini berada di zon merah iaitu melepasi paras bahaya.

  Sungai (Sg) terbabit ialah di Sg Bera di Jambatan Sg Bera dan Sg Pahang di Water Front Bera; Sg Pahang di Lubok Paku, Sg Pahang di Lubuk Paku (stesen 3527410) dan Sg Pahang di Chenor, Maran; Sg Lepar di Jambatan Gelugor dan Kuantan Bypass, Kuantan; Sg Pahang di Sg Yap, Jerantut serta Sg Pahang di Temerloh.