KUANTAN: “Selepas pengumuman raya tadi (malam tadi) mesej tak putus masuk sebab pelanggan cepatkan masa ambil lemang ditempah,” peniaga lemang, Radin Pat Radin Razali kepada Fikrah Pahang ketika ditemui di tempat jualannya di Taman Pandan Mewah di sini, awal pagi tadi.
Menurut lelaki berusia 48 tahun itu, dia mula membakar lemang secara berterusan sejak jam 8 pagi semalam sehingga jam 10 pagi pada hari raya pertama hari ini.
Katanya, dia tetap memenuhi permintaan pelanggan kerana tidak sampai hati melihat mereka ‘kempunan’ menikmati lemang pada hari raya pertama.
“Ramai yang nak ambil ‘order’ (tempahan) siang nanti (hari ini) kerana menyangkakan hari raya pertama jatuh pada Selasa.
“Bila dapat tahu raya pertama jatuh pada Isnin, menderu mesej masuk dan ramai juga yang telefon sebab nak segera ambil tempahan. Kalau ikutkan saya nak rehat sahaja tapi tak sampai hati tengok mereka yang bersungguh meminta saya siapkan tempahan paling lewat pagi raya,” katanya.
Radin Pat berkata, walaupun agak kalut menyiapkan tempahan, dia tidak panik dan sedaya-upaya memastikan mutu lemang yang dibakar berada pada tahap tinggi.
“Alhamdulillah, tahun ini tempahan sangat memberangsangkan. Untuk malam (malam tadi) ini sahaja, sebanyak 500 batang ditempah,” katanya yang menjual juadah tradisi itu pada harga RM18 sebatang. – HELMY ABD RAHMAN