Lebih 300 sukarelawan bantu bersih rumah, masjid di Karak

Lebih 300 sukarelawan bantu bersih rumah, masjid di Karak

KUANTAN: Lebih 300 sukarelawan daripada sepuluh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai Program Bantuan Sukarelawan Negeri Pahang untuk membantu mangsa banjir di Karak, Bentong, semalam.

Program prihatin secara kolaborasi itu turut membabitkan agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, SWcorp dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang turut menyediakan bantuan.

Pengerusi penganjur, Dato’ Wan Nor Raihan Wan Abdul Rahman berkata, program yang diadaka bertujuan membantu meringankan beban mangsa banjir di Karak.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) Negeri Pahang, berkata selain agihan pelbagai bantuan barangan yang disediakan NGO terbabit, aktiviti lain diadakan ialah membersih kotoran rumah yang ditenggelami banjir.

Katanya, kehadiran penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan diharap dapat melancarkan lagi aktiviti membersihkan kotoran yang masih terdapat dalam rumah mangsa di samping di masjid dan surau.

“PBSM Negeri Pahang memberi sumbangan pakaian kanak-kanak, susu tepung, lampin pakai buang dan selimut. Hasil sumbangan orang ramai kita serahkan semula kepada mangsa banjir.

“Wang tunai turut diberikan kepada mangsa bagi meringankan beban mereka yang kehilangan harta benda,” katanya selepas majlis pelepasan konvoi itu, di sini, semalam. Hadir sama Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin. – MOHD IMRAN IZZAD