Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar Mohd Imran Izzad
LIPIS: Seramai 3,534 masyarakat Orang Asli di negeri sudah menerima vaksin COVID-19 setakat ini.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Johari Alwi berkata, menerusi Program Outreach Vaksinasi (POV) Covid-19 yang dilancarkan pada 16 Jun lalu, seramai 3,295 menerima dos pertama manakala 239 lagi selesai menerima dos pertama dan kedua.
“Di negeri ini terdapat seramai 54,164 masyarakat Orang Asli berusia 18 tahun ke atas dan layak menerima suntikan vaksin COVID-19 disediakan kerajaan secara berperingkat menerusi POV yang disokong sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Negeri ini mencatat jumlah tertinggi masyarakat Orang Asli yang menerima suntikan vaksin berbanding beberapa negeri lain antaranya Johor, Kelantan, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurutnya, POV yang dilancarkan awal bulan lalu menjadi faktor utama bertambahnya jumlah masyarakat Orang Asli di luar bandar berminat untuk menerima vaksin COVID-19 apabila mereka mulai sedar kepentingan menerima suntikan berkenaan.
“Kerjasama terbaik diberikan jururawat, pegawai kesihatan dan doktor di setiap Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ternyata melancarkan lagi proses pemberian vaksin kepada kumpulan sasar,” katanya.
Beliau berkata, rombongan petugas POV berkunjung ke setiap kampung di pedalaman yang mempunyai jumlah penduduk ramai termasuk di Rancangan Penempatan Semula (RPS) untuk memberi suntikan vaksin COVID-19 yang mana perjalanan lebih 50 kilometer melalui jalan tanah merah di dalam hutan tidak menjadi halangan kepada mereka menjalankan tugas.
Tambahnya, kumpulan petugas terbabit turut bersama pegawai psikologi (kaunseling) PKD berketurunan Orang Asli yang bertanggungjawab memberi penerangan dan nasihat supaya masyarakat terbabit menerima suntikan vaksin.
“Cara ini amat berkesan apabila ramai Orang Asli pelbagai peringkat usia tampil secara suka rela untuk menerima suntikan.
“Saya berharap jumlah Orang Asli yang menerima vaksin akan terus bertambah selepas petugas POV menjelajah ke pelusuk daerah di negeri ini,” katanya.