600 banduan Pahang ikuti kelas agama, al-Quran

600 banduan Pahang ikuti kelas agama, al-Quran

KUANTAN: Lebih empat ribu termasuk 600 penghuni penjara di Pahang terpilih mengikuti kelas agama dan membaca al-Quran dikenali sebagai Tafaquh Fiddin sejak diperkenalkan tujuh tahun lalu.

Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Ab Razak Abu Musa Saari, berkata program kerjasama di antara Yayasan Pahang dan Penjara Pahang berjaya memberi pendidikan keagamaan kepada penghuni penjara.

Menurutnya, Yayasan Pahang bertanggungjawab menyediakan tenaga pengajar untuk memberi tunjuk ajar kepada penghuni Penjara Penor dan Penjara Bentong.

“Saya berbangga apabila mendapati tahu ada peserta kelas membaca al-Quran berjaya menghafal sehingga lapan juzuk al-Quran.

“Kita bercadang untuk membantu mereka yang terbabit program Tafaquh Fiddin menceburi projek ekonomi seperti pertanian apabila mereka dibebaskan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Tafaquh Fiddin Sesi 2019/2020 dan Penyampaian Sijil Kemajuan Tahfiz Baitul Hikmah Penjara Penor kepada 42 peserta di Dewan Melati Penjara Penor, di sini, 18 Ogos lalu.

Hadir sama Pengarah Penjara Pahang, Dato’ Abu Hasan Hussain, Pengarah Penjara Penor, Fayrouz Ahmad Zawawi dan Pengarah Penjara Bentong, Mohamad Ismail. – MOHD IMRAN IZZAD