Lebih 40,000 kanak-kanak di Pahang dah divaksin

Lebih 40,000 kanak-kanak di Pahang dah divaksin

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang memaklumkan seramai 40,150 kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun di negeri ini sudah menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PicKids) setakat ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Nor Azimi Yunus, berkata jumlah itu adalah 20.8 peratus daripada 192,600 kanak-kanak yang disasarkan menerima vaksin yang bermula pada 7 Februari lalu.

Katanya, Cameron Highlands merekodkan pencapaian peratusan tertinggi iaitu 38.2 peratus berbanding daerah lain yang merekodkan peratusan antara 21.1 dan  27.2 peratus.

“Setakat ini, enam Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dibuka secara jumpa terus iaitu di Dewan Eng Choon dan UNIKlinik Indera Mahkota Dua, di sini serta Dewan Jubli Perak, Raub.

“PPV lain pula ialah di Dewan Kuala Rompin, Rompin; Dewan Tun Razak dan Pusat Latihan Kesihatan Mentakab di Temerloh,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Bagi pelaksanaan PICKids, beliau berkata, sebanyak 133 PPV yang beroperasi dengan kapasiti keseluruhan sebanyak 5,075 dos sehari.

“PPV itu membabitkan 46 PPV kluster sekolah, 67 PPV Klinik Kesihatan, satu PPV awam dan lapan PPV offsite’ dan 18 pasukan outreach’ sekolah,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN