Lebih 5,000 warga emas Parlimen Indera Mahkota terima sumbangan BPP

Lebih 5,000 warga emas Parlimen Indera Mahkota terima sumbangan BPP

KUANTAN: Lebih 5,000 warga emas berumur 70 tahun ke atas dalam kawasan Parlimen Indera Mahkota bakal menerima sumbangan barangan keperluan asas makanan.

Daripada jumlah itu, 2,385 penerima membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Semambu manakala 2,638 penerima pula di Dun Beserah.

Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota, Dato’ Indera Mustaffar Kamal Ab Hamid, berkata sumbangan itu menerusi  Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Covid-19 Kerajaan Pahang.

“Terima kasih YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy  Wan Ismail kerana sentiasa cakna dan peka akan kebajikan dan keperluan rakyat Pahang.

“Sumbangan ini diyakini dapat membantu golongan berkenaan yang terkesan dengan penularan Covid-19,” katanya.

Mengulas sumbangan di kawasan Indera Mahkota 2 yang diadakan di Dewan KRT Pasdec, di sini kelmarin, beliau berkata, seramai 116 warga emas menerimanya.

“Saya juga berkesempatan menyampaikan sumbangan dari rumah ke rumah kepada penerima yang tidak dapat hadir,” katanya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN